Monday, October 17, 2011

KATSARIN - Episode 2

KATSARIN EP 2

1. OPENNING MONTAGE

CUT TO

2. LUAR. BOT SUCHART/LAUTAN. MALAM

SUCHART MEMBAWA DUA PANCINGNYA LALU BERDIRI DI BAHAGIAN DEPAN BOT MEMANDANG KE DEPAN. KEADAAN DI ATAS BOT LAMA TERSEBUT AGAK CERAH KERANA LAMPU YANG DIPASANG. PHAPOP DATANG MENDEKATI SUCHART LALU BERDIRI DI BELAKANG TETAPI AGAK BERHAMPIRAN DENGAN SUCHART. DIBIARKANNYA SUCHART MEMIKIRKAN APA YANG DIFIKIRNYA TANPA MAHU MENGANGGU. SUCHART DIAM TETAPI MENYEDARI PHAPOP BERADA DI BELAKANGNYA.

SUCHART
Kamu mahu kita balik saja ke Hadyai dan naik kapal terbang ke Langkawi.. begitu?

PHAPOP
Saya tuan....

SUCHART DIAM SEKEJAP SETELAH MENDENGAR JAWAPAN PHAPOP.
                      
SUCHART
Kamu sendiri tahu siapa dalang yang bertanggungjawab dalam serangan ke atas kita di Danok petang tadi, bukan?

PHAPOP
Saya tuan....

KEADAAN DIAM SEBENTAR.

SUCHART
Habis kenapa tak cakap... Kenapa diam...!!

PHAPOP
Tanpa bukti yang kukuh saya tak berani cakap tuan... tapi kita tak selamat berada di sini... tambahan dalam bot lama begini... Kita tak ada kelajuan untuk lari kalau sangkaan saya betul...

SUCHART
Cuaca begini sesuai untuk aku memancing, bukan? Umpan bot buruk ini umpan terbaik aku...

PHAPOP
Ya tuan... sesuai.. Mungkin ikan yang kita cari akan keluar... RISAU tapi.. DIAM

SUCHART
Tapi apa?

PHAPOP
Saya takut, ikan yang kita nanti tidak datang ketika laut tenang.. tapi datang bawa ribut tuan... 

SUCHART SEGERA MEMANDANG PHAPOP. DIA MEMBETULKAN BAJU SEJUK YANG DIPAKAI PHAPOP SEPERTI SEORANG AYAH YANG SAYANGKAN ANAKNYA.

SUCHART
Duri yang menyucuk daging aku mesti cepat dicabut .. PANDANG ARAH BELAKANG, KE ARAH ADANYA KATSARIN DI DALAM BOT. Katsarin mesti bebas dari bahaya...  KEMUDIAN PANDANG PHAPOP Aku tak takut ribut kalau ada kamu...

SUCHART MENEPUK BAHU PHAPOP.

CUT TO

3. DALAM. BOT SUCHART. SIANG

KATSARIN MENDENGAR MUZIK DARI MP3NYA. DIA BERMAIN GAME DARI KOMPUTER RIBANYA TANPA MENSYAKI APA-APA RANCANGAN DI SEBALIK KEHADIRANNYA DI DALAM BOT LAMA AYAHNYA.

CUT TO

4. LUAR. LAUTAN. MALAM

TUNJUKKAN BOT YANG DINAIKI SUCHART BERLALU DI DALAM GELAP MALAM. BOTNYA NAMPAK CERAH DENGAN PHAPOP DAN SUCHART BERDIRI DI DEPAN DAN KATSARIN BERTEDUH DI DALAM ASYIK DENGAN KOMPUTERNYA. LAGU SIAM YANG DIMAINKAN FADED DARI KUAT DI MAINKAN.

CUT TO

5. DALAM. PEJABAT CALET. MALAM

DARI RADIO YANG TERPASANG KEDENGARAN DJ RADIO LANGKAWI BERCELOTEH MEMANGGIL ORANG LANGKAWI MENIKMATI LAGU YANG DIHIDANGNYA. (PENTING UNTUK MEMBERITAHU PENONTON BAHAWA LOKASI PENGGAMBARAN ADALAH DI UTARA) ERINA MEMATIKAN RADIO YANG DIMAINKAN DAN MUZIK TERHENTI. DIA MENGEMASKAN SEDIKIT KEADAAN DI MEJA DAN KEMUDIAN BERGERAK UNTUK KELUAR. ZALI MASUK KE DALAM PEJABAT DENGAN MEMBAWA BEBERAPA BIJI BOLA TAMPAR DAN TAKRAW UNTUK DILETAKKAN KEMBALI DI PEJABAT.

ZALI
Tak balik lagi.. ?

ERINA
Nak balik lah ni.. ada tetamu minta pakai telefon tadi...

ZALI MELETAKKAN BOLA DI BELAKANG KAUNTER DAN KEMUDIAN MEMBACA SESUATU DI KAUNTER. ERINA MEMANDANGNYA SEAKAN MAHU BERCAKAP SESUATU. DIA CUBA BERSUARA TETAPI ZALI BERCAKAP DAHULU TANPA MEMANDANGNYA.

ZALI
BERCAKAP SAMBIL BERJALAN UNTUK KELUAR DARI PEJABAT. Kalau tak ada apa-apa abang balik dulu... BERHENTI DAN PANDANG ERINA. Ooooo... Erina!  Abang Halim pesan biar lampu pejabat terpasang .. dia nak datang sekejap lagi..

TANPA MENUNGGU JAWAPAN ZALI TERUS BERGERAK UNTUK KELUAR. ERINA RASA SERBA SALAH UNTUK BERSUARA KEMUDIAN DIBERANIKAN DIRI.

ERINA
(AGAK KUAT KERANA MAHU MENYEKAT ZALI DARI SEGERA PERGI) Abang...!! Abang teman Erina minum boleh... Erina haus sangat.. MULAI PERLAHAN SUARA KERANA TERASA AGAK KUAT. Segan lah minum seorang-seorang... tetamu ramai di cafe....

ZALI BERHENTI DAN TANPA MEMANDANG ERINA DIA DIAM BERFIKIR SESUATU. HATINYA MAHU MELAYAN KEHENDAK ERINA. ERINA NAMPAK REAKSI ZALI DARI BELAKANG DAN KEMUDIAN ZALI BERPUSING.

ZALI
PANDANG ERINA. Kalau Erina cakap awal-awal tadi tentu boleh... CIUM BAJU YANG DIPAKAINYA. Baju abang dah hapak.. Nanti lari tetamu kita di cafe...  Lain kali saja lah...  

PADA MASA YANG SAMA SUE MASUK KE DALAM PEJABAT DAN TERUS MEMEGANG ERAT TANGAN ZALI.

SUE
Jom teman Sue main dart.. Dah tak ada orang main... Jomlah....

ZALI SEGERA MENARIK SUE DAN MENGANGKATNYA. MEMANJAKANNYA.

ZALI
(AGAK SERONOK) Joooomm... Kena cepat nampaknya.. nanti orang lain sapu tempat Sue pula.. .

ZALI MENGELETEK SUE SAMBIL BERJALAN KELUAR DARI PEJABAT.
TUNJUK REAKSI ERINA YANG AGAK 'FRUST' DENGAN CEPATNYA ZALI BERSETUJU DENGAN SUE.

SUE
Masam bau baju Pakcik...  Macam bau ikan masin...

ZALI
Nanti pakcik goreng baju ni untuk Sue makan dengan nasi goreng pakcik... macam mana?

SUE
Pengotor pakcik ni... 

MEREKA KETAWA BERLALU PERGI. ERINA MEMANDANG MEREKA AGAK MARAH. MUKANYA MENCEMEH. DIA MENGGENGGAM PENUMBUK DAN DIHAYUNKANNYA DI BELAKANG ZALI SEAKAN MELEPAS GERAMNYA PADA ZALI YANG SUDAH PUN AGAK JAUH.

CUT TO 


6. LUAR. LAUT. MALAM

TUNJUKKAN SEBUAH BOT LAJU BERGERAK DI WAKTU MALAM.

CUT TO

7. LUAR. BOT LAJU. MALAM

KEADAAN BOT LAJU AGAK CERAH. SONGSARK DUDUK DI TEMPAT DUDUK KHAS YANG DISEDIAKAN KEPADANYA SAMBIL MENGILAP PISTOLNYA. DI MEJA BERDEKATANNYA BEBERAPA PISTOL LAIN KELIHATAN. DUA PENGIKUTNYA BERDIRI BERDEKATANNYA. SALAH SEORANG PENGIKUTNYA DATANG MENDEKATI MEREKA KEMUDIANNYA.

PENGIKUT 1
Bos rasa betul ke laluan yang kita ambil ni... mana tau mereka tak terus ke Langkawi tapi pergi memancing dulu.. Dah lama kita cari mereka... tak nampak pun bos...

SOMSARK MEMANDANG PENGIKUTNYA AGAK MARAH. PENGIKUTNYA JADI TAKUT. DIA MENARIK TANGAN PENGIKUTNYA DAN KEMUDIAN MENGEPAK IBU JARINYA KE BELAKANG. PENGIKUTNYA MENJERIT SAKIT. TUNJUKKAN BEBERAPA REAKSI PENGIKUT LAIN DI SITU. MEREKA AGAK CUAK. TAKUT MEREKA PULA YANG KENA.

PENGIKUT 1
KESAKITAN Sa.. sa...sakit bos... Bos.. sakit...

SOMSARK
Aku suruh kamu pergi India.. kamu pergi India... Aku suruh ke Langkawi... kamu ikut.. Jangan banyak soal... Aku suruh mati.. kamu pergi mati.. kamu faham? KEPAK JARI PENGIKUTNYA DAN SERONOK MELIHAT PENGIKUTNYA SAKIT. Faham..?

PENGIKUT 1 MENGANGGUK.

PENGIKUT 1
Faham bos... faham...

SOMSARK MELEPASKAN JARI PENGIKUTNYA. DIA KEMUDIAN MENGURUT TANGAN PENGIKUTNYA. DIA SENYUM PADA MEREKA YANG LAIN YANG TUNDUK TAKUT MEMANDANG WAJAHNYA. SOMSARK BERDIRI SETELAH MELEPASKAN TANGAN PENGIKUTNYA. DIA MEMANDANG JAUH.

SOMSARK
RASA PUAS. Malam ni kita akan tangkap ikan yang besar... KETAWA.

CUT TO

8. LUAR. LAUT. MALAM

TUNJUKKAN GAMBARAN DARI BELAKANG BOT APABILA BOT SOMSARK BERLALU. SOMSARK BERDIRI DENGAN PENGAWALNYA DEKAT DENGANNYA.

CUT TO

9. LUAR. BOT SUCHART. MALAM

PHAPOP MELEMPAR SAUH KE DALAM AIR. KEDENGARAN ENJIN BOT DIMATIKAN. KEADAAN JADI SUNYI SEKETIKA. SUCHART DUDUK DI DEPAN BOT LALU MEMASANG UMPAN PADA PANCINGNYA.

SUCHART
PANGGIL Phapop.... !!

PHAPOP SEGERA MENDEKATI SUCHART

PHAPOP
Saya tuan...

SUCHART MENGISYARATKAN UNTUK PHAPOP MENGAMBIL SALAH SATU PANCING YANG DIPEGANGNYA. PHAPOP MENDAPATKAN SUCHART LALU MENGAMBIL PANCING TERSEBUT.

SUCHART
Masa muda aku dulu... Kalau bulan penuh saja aku datang memancing sini... Dengan ayah kamu..  Siakap sini pantang nampak umpan...

SUCHART MENGISYARATKAN AGAR PHAPOP DUDUK DI SEBELAHNYA. MENEPUK LANTAI BOT. PHAPOP DUDUK. SUCHART MELEPASKAN PANCINGNYA KE DALAM LAUT. PHAPOP MENGIKUT DENGAN PANCINGNYA.

SUCHART
PANDANG PHAPOP YANG DUDUK SEBELAHNYA DAN KEMUDIAN SEGERA PANDANG LAUT. Aku tak pernah cakap sebelum ni... tapi aku nak cakap malam ni...  

PHAPOP
Saya tuan...

SUCHART
Kamu tahu.. aku layan kamu lebih dari seorang pekerja.. malah kamu macam anak aku sendiri... PAUSE. Bapa kamu dulu sama sama dengan aku naik bot ni lah... Sama-sama tangkap ikan bilis di laut ni lah.. Tempat kamu duduk tu juga.. dia pernah duduk bila memancing dengan aku...

TUNJUKKAN REAKSI PHAPOP. DIA DIAM SEBENTAR SEBELUM MENJAWAB. SUCHART SEAKAN HILANG DALAM INGATAN SILAMNYA.

PHAPOP
Mak ada bagi tau... Tuan pernah selamat nyawa ayah... Tuan terjun ke laut cari ayah bila dia jatuh ke laut walaupun dalam ribut...

SUCHART KETAWA.

SUCHART
Emak kamu cuma cerita separuh cerita saja... Aku cuba selamat nyawa ayah kamu cuma sekali saja dia dah besarkan cerita. Ayah kamu lebih lima kali selamat nyawa aku... Sekarang kamu pula yang jaga nyawa aku.... SUCHART KETAWA AGAK SINIS. Aku ni hutang budi pada bapa dan pada anak...

SUCHART MEMENDEKKAN TALI PANCINGNYA DAN KEMUDIAN MELEPASKAN TALI PANCINGNYA KEMBALI KE PEKAT MALAM.

SUCHART
Aku harap... kalau jadi apa-apa pada aku... Kamu jaga Katsarin macam adik kamu sendiri... Aku harap pada kamu...

PHAPOP MEMANDANG SUCHART

PHAPOP
Saya akan jaga dia macam saya jaga tuan..

SUCHART
AGAK MARAH. Kamu ni... aku suruh kamu jaga macam adik.. kamu jaga macam adik... Tegur dia kalau dia buat silap... Kamu faham? TEPUK BAHU PHAPOP DAN LETAK TANGANNYA DI SITU.

SUCHART
Tak ada orang lain aku lebih percaya dari kamu...

DI SEBELAH BELAKANG BOT TUNJUKKAN KATSARIN YANG MEMAKAI MP3 PADA TELINGANYA MEMANDANG ARAH AYAHNYA DAN PHAPOP. DIA NAMPAK BETAPA RAPATNYA MEREKA. DIA TERASA AGAK MARAH. KATSARIN BERGERAK KE DEPAN BOT AGAK BERDEKATAN DENGAN AYAHNYA DAN PHAPOP.

KATSARIN
(MARAH) Ayah ajak Katsarin ikut ayah tapi ayah asyik dengan Phapop tu saja.. lebih dari anak sendiri... Kalau Katsarin terjun pun ayah tak sedar...

PHAPOP DAN SUCHART AGAK TERSENTAK DENGAN REAKSI KATSARIN YANG TIBA-TIBA MARAH. TIBA-TIBA SAJA KATSARIN TERJUN KE DALAM LAUT. SUCHART INGIN TERJUN KE DALAM LAUT TAPI DITARIK SEGERA OLEH PHAPOP, SEMUA BERLAKU PANTAS DAN PHAPOP TERUS TERJUN. TUNJUKKAN REAKSI SUHART YANG CEMAS MENYULUH DENGAN SPORT LIGHT BERDEKATAN.

CUT TO   

10. DALAM. CAFE CALET. MALAM.

KEADAAN DI KAWASAN CALET AGAK CERAH. BEBERAPA TETAMU DUDUK MINUM DAN MAKAN DI BEBERAPA TEMPAT DAN TIDAK BEGITU DIPENUHI ORANG. BEBERAPA TETAMU LAIN BERADA DI LUAR CAFE CALET. KEADAAN BEGITU TENANG. MUZIK LAGU BERUPA JAZZ MELAYU ATAU KERONCONG DIMAINKAN. HARIS DUDUK SEORANG DIRI DI BAHAGIAN AGAK LUAR CAFE. DIA MINUM TEH DENGAN TENANG. ERINA MASUK KE DALAM SET DAN MENCARI ZALI DAN SUE. NAMPAK MEREKA DI BAHAGIAN DALAM SEDANG KETAWA BERMAIN DART. HARIS NAMPAK ERINA YANG MASUK DAN BERDIRI DIAM SEKETIKA BERFIKIR SAMA ADA DIA MAHU MENEGUR ZALI DAN SUE. HARIS MEMANDANG ERINA SEAKAN SESUATU YANG INDAH BAGINYA. NAMPAK ERINA MEMANDANGNYA, DIA SENYUM SAMBIL MENUNJUKKAN MINUMAN PADA ERINA. ERINA SENYUM BALAS MENGGELENG KEPALANYA DAN KEMUDIAN TERUS KE DALAM MENUJU KE ARAH BAHAGIAN DALAM CAFE TANPA TERUS PERGI KE ZALI.
DI TEMPAT BERMAIN DART, ZALI MENGACAU SUE DARIPADA MEMBUAT BALINGAN. SUE CUBA MEMEJAM MATANYA SEBELAH SEBELUM MEMBUAT BALINGAN.

ZALI
Kejib mata ke.. pejam mata ke.. sama saja Sue.... Malam ni... Sue kalah alamatnya, pijak belakang pakcik.....

SUE
Pakcik tak ada semangat sukan langsung... pakcik baling Sue tak kacau pun...

ZALI
Itulah Sue kena belajar.. dalam sukan bukan setakat pandai saja... psaiko luaran pun penting... Orang panggil tipu helah nak menang.. Sebanyak mungkin kita ganggu fokus lawan...

ERINA DATANG MEMBAWA TALAM BERISI MINUMAN LALU BERDIRI DI MEJA BERDEKATAN MEREKA. ZALI MEMANDANGNYA. SUE MEMBUAT BALINGAN.

ERINA
Dengan budak kecil pun mesti menang ke?

ZALI MEMANDANG ERINA YANG MELETAKKAN TALAM MINUMAN.

INTERCUT TO

11. DALAM. BOT SUCHART. MALAM

SUCHART MENUJU KE BELAKANG BOT UNTUK MELIHAT KEADAAN KATSARIN. DIA BERHENTI DARI MASUK KE DALAM BAHAGIAN DALAM BOT APABILA MELIHAT KATSARIN SEDANG DUDUK DI SATU SUDUT, MURUNG. SUCHART TIDAK TAHU APA YANG HARUS DILAKUAN. PHAPOP DATANG BERDIRI DI SEBELAHNYA. RAMBUTNYA BASAH. BAJUNYA BARU DITUKAR.

PHAPOP
Dari petang tadi tuan belum menegur Katsarin.. kalau saya.. dah tentu saya fikir tuan marah saya....

SUCHART MEMANDANG PHAPOP.

SUCHART
Kamu agak dia fikir begitu? Aku marah dia? PAUSE PANDANG KATSARIN. Cakap dengan menteri lebih senang dari cakap dengan anak sendiri.  Ini tiba-tiba dia terjun ke laut..

PHAPOP
Ada orang yang saya sangat hormat ajar saya... Kalau tak mula sesuatu tuan... tak selesai masalah... Masalah ini saya tak dapat selesaikan buat tuan...  Tuan kena mulakan...

SUCHART PANDANG PHAPOP. DIA SENYUM

SUCHART
Kamu ni dah mula jadi macam aku... KETAWA. Pakai baju tebal-tebal.. nanti sakit...  SAMBIL BETULKAN BAJU PHAPOP

SUCHART KEMUDIAN BERGERAK UNTUK MASUK BERBUAL DENGAN KATSARIN. PHAPOP SENYUM MELIHAT SUCHART MEMBERANIKAN DIRI. 

INTERCUT TO

12. DALAM. CAFE CALET. MALAM

CONTI BABAK 10. ERINA, SUE DAN ZALI BERBUAL DENGAN SUE AKAN MEMBUAT BALINGAN.

ZALI
Bukan soal kalah menanglah... soal sakit belakang.. ada orang nak pijak...

BALINGAN SUE GAGAL MENGENA SASARAN. ZALI BANGUN UNTUK MEMBUAT BALINGAN. SAMBIL MENGAMBIL DART DIA BERSUARA.

ZALI
Nanti sabun kaki dulu sebelum pijak belakang pakcik...

SUE
Ya lah tu... Pakcik dapat sembilan.. pakcik menang lah...

ZALI
Pejam mata pun boleh kena lah Sue...

ERINA
Kalau begitu.. pejamlah mata!!

ZALI MENJELING PADA ERINA. ERINA SENYUM PANDANGNYA.

HARIS
Saya belanja semua makan ikan bakar kalau tutup mata... dapat 9... PAUSE Saya pun belum makan...

HARIS BERSUARA DAN MENGHAMPIRI MEREKA.

SUE
Ini baru seronok.... PADA HARIS. Abang jangan lawan pakcik abang... tak akan menang... pakcik memang pandai.... Rugi duit saja...

ERINA
Biarlah.. kalau ada orang nak belanja makan ikan bakar.. Apa salahnya...

ZALI PANDANG HARIS YANG SENYUM BERSALAMAN DENGANNYA. MASING MASING PERKENALKAN DIRI.

ZALI
Rasa tak kena pula... Cik Haris tetamu di sini..

HARIS
Sekali sekala... sikit cabaran seronok juga... Tutup mata.. kena sembilan... saya belanja...

ZALI PANDANG HARIS YANG BEGITU BERIYA. KEMUDIAN PANDANG SUE YANG BEGITU PERCAYA PADANYA.

INTERCUT TO

13. LUAR. LAUTAN. MALAM

TUNJUKKAN BOT SOMSARK MELEPASI SEBUAH BOT NELAYAN DAN MEREKA MENGELILINGI BOT TERSEBUT SAMBIL MENYULUH KE DALAM.  UNTUK MENAKUTKAN NELAYAN SALAH SEORANG DARIPADA MEREKA MELEPASKAN TEMBAKAN.

INTERCUT TO

14. DALAM. BOT SUCHART. MALAM

SUCHART MASUK KE DALAM BOT NELAYANNYA DAN CUBA MENDEKATI KATSARIN. KATSARIN PERASAN AYAHNYA MASUK TETAPI TIDAK MAHU BERGERAK. DIA MASIH MERAJUK. MP3 MASIH DI TELINGANYA. SUCHART MENCARI PERKATAAN YANG SESUAI UNTUK DIBUALKAN.

SUCHART
Katsarin!!

INTERCUT TO

15. DALAM CAFE CALET. MALAM

CONTI BABAK 12. ZALI MEMEGANG DART DI TANGANNYA.

ZALI
Nak tutup dengan kain ke.. atau nak saya pejam mata saja...

ERINA
Pejam dah cukup....

ZALI MEMEJAM MATANYA DAN TANPA 'AIM' TERUS MEMBALING. SASARANNYA TEPAT. BERLAKU SANGAT PANTAS. KEADAAN DIAM SEKEJAP KEMUDIAN HARIS KEMUDIAN MENEPUK TANGANNYA. SUE BERSORAK PANJANG. MENEPIK MAKAN IKAN BAKAR.
  
SUE
Yeeeeh... Kita makan ikan bakar.... Kita makan ikan bakar... Tu lah Sue dah cakap...

HARIS
Memang saya kagum... Nampaknya saya kena belanja ikan bakar malam ni...  Apa kata untuk empat orang...?

ZALI
Buat untuk tiga sudah lah... saya dah makan... Sue dengan Erina beriya sangat nak makan.. saya baling pun untuk belanja mereka saja... PAUSE. Saya minta diri dulu...

ZALI BERGERAK UNTUK KELUAR. ERINA KELIHATAN AGAK KECEWA.

ERINA
Duduklah minum dulu... Erina dah bancuh air ni...

ZALI MEMANDANG ERINA.

ZALI
Lain kalilah...

SUE MEMANDANG MUKA ERINA YANG BERUBAH.

ERINA
MERAJUK DAN GERAM. Kalau begitu.. biar minuman tu sejuk! Benda dah ada pun susah sangat... 

TUNJUKKAN REAKSI HARIS MEMANDANG ERINA DAN KEMUDIAN PADA ZALI YANG RASA SERBA SALAH. SUE TURUT MEMERHATI ERINA, DIA SEGERA MENARIK TANGAN ZALI.

SUE
Minum dulu pakcik... maksu dah bancuh... UGUT Tak minum tak pijak belakang...

ZALI PANDANG SUE. DIA MENGUSUTKAN RAMBUT SUE. ZALI MENGAMBIL SALAH SATU CAWAN YANG BERISI AIR DAN KEMUDIANNYA MEMINUMNYA SAMBIL MEMBAWANYA KELUAR. MEREKA DI SITU MEMANDANGNYA HAIRAN. ERINA MENGAMBIL SALAH SATU MINUMAN DAN DENGAN MARAH BERJALAN KELUAR MENGIKUT ARAH YANG BERTENTANGAN DARI ZALI. SUE MENGGELENGKAN KEPALANYA. DIA MEMANDANG HARIS YANG AGAK HAIRAN APA YANG BERLAKU.

INTERCUT TO

16. LUAR. BOT SUCHART. MALAM

KATSARIN DAN SUCHART BERADA DI BAHAGIAN DEPAN BOT. KATSARIN BERDIRI MEMANDANG JAUH. SUCHART MENDEKATI KATSARIN DAN MEMBERINYA PANCING. DIA MEMBETULKAN PAKAIAN SEJUK KATSARIN.

SUCHART
Ayah tahu Katsarin tak berapa suka dengan bot ni... Bot tua.. dah buruk...

KATSARIN
Bukan tak suka... tapi tak tau cerita... AGAK CEMBURU. Anak lelaki ayah tu dah cakap sejarah bot ni...

SUCHART SENYUM DENGAN NADA SINIS KATSARIN

SUCHART
Jangan marah sangat dengan Phapop... Belum sempat ayah terjun ke laut.. dia lebih awal lagi terjun....

KEADAAN DIAM SEBENTAR. KATSARIN TIDAK BEGITU SENANG DENGAR PUJIAN KEPADA PHAPOP

SUCHART
Ayah minta maaf tak pernah habiskan masa bersama Katsarin sebelum ini... Ayah bukan ayah yang baik... Ayah hantar Katsarin ke London untuk belajar di asrama sedangkan Katsarin patut bersama ayah di Bangkok... Ayah minta maaf... Bukan ayah tak sayang anak ayah..

KATSARIN DIAM FIKIR SESUATU.

KATSARIN
Mula-mula dulu.. Bila Katsarin 13 tahun ... Ada juga Katsarin tertanya... bila tengok ayah kawan-kawan datang ke asrama... kenapa ayah tak macam mereka? Datang jengok Katsarin sekerap ayah mereka.  Cemburu juga bila kawan-kawan kongsi makanan yang dibawa ayah-ayah mereka. Katsarin cuba bagi alasan kenapa ayah tak pernah datang... Ayah di Bangkok .. Katsarin London... Jauh! Tapi bila ada juga kawan-kawan yang ibu bapa dari Korea pun kerap datang... Mati satu alasan Katsarin ... Jadi Katsarin peram rasa terkilan... Habiskan masa dengan buku. Mungkin kalau Katsarin pandai belajar ayah akan datang... Tapi ayah tak datang juga... Katsarin dah hilang alasan!  Timbul sakit hati saja.. Katsarin putuskan lama dulu... Ayah tentu orang paling sibuk dalam dunia... Ayah ada lebih 1,000 pekerja ayah perlu bayar gaji.. Pekerja ayah pula ada keluarga masing-masing yang mereka kena jaga...  Tentu berat kerja ayah... Cuma Katsarin kurang bernasib baik kerana perlu korbankan ayah untuk mereka...

AIR MATA BERGENANG DI MATA KATSARIN.

SUCHART
Syarikat ayah dah besar sekarang... Tanpa ayah pun, syarikat dah boleh berjalan sendiri... Ayah dah boleh bersara.... Apa kata ayah...

KATSARIN
Jangan janji perkara yang ayah tak yakin boleh tunaikan.. Katsarin tak mahu mengharap... PAUSE. KATSARIN LAP AIRMATANYA. UBAH PERBUALAN. Betul ke ikan di sini banyak?

SUCHART TERDIAM TERFIKIRKAN SESUATU. TUNJUKKAN SHOT DI MANA PHAPOP DARI JAUH MELIHAT MEREKA.

CUT TO    

17. DALAM. PEJABAT CALET. MALAM

HALIM BERADA DI PEJABATNYA BILA ZALI MASUK KE PEJABAT DAN DUDUK DI SOFA DENGAN MEMBAWA GELAS MINUMAN DI TANGANNYA (DARI BABAK AWAL). HALIM MEMERHATIKAN KAWANNYA DAN DIA KELUAR DARI PEJABAT LALU DUDUK BERDEKATAN ZALI.

HALIM
Aku suruh hang kahwin lain, hang tak mau... Ini tak habis-habis murung!

ZALI
Cakap banyak pula... Yang hang tujuh tahun menduda tu apa... Hang lebih hampas dari aku...

HALIM
Hang lain... aku lain... Aku ada anak.. Orang yang aku cari mesti sayang Sue macam kita sayang Sue.. Lagipula... nak kenal kenal orang ni menyusah... Sekejap manja sekejap merajuk... Mati!!

ZALI/HALIM
SERENTAK Tak dak pasal.. jangan cari pasal!!

MEREKA BERDUA KETAWA.

HALIM
Ikut ramalan cuaca.. dalam dua tiga hari ke depan ni... mungkin laut bergelora sikit... Ribut kuat dari Myammar akan turun... jadi kita kena simpan bekalan untuk sekurang-kurangnya untuk lima hari... Hang nak buat ke.. aku nak buat?

PADA MASA YANG SAMA TELEFON PEJABAT BERBUNYI. HALIM SEGERA BANGUN MENJAWAP TELEFON.

HALIM
Selamat malam! Calet Pelangi Suraya.... Halim di sini... PAUSE. Hello.... PANDANG ZALI. Hello... Calet Pelangi Suraya.... PADA ZALI
Dah telefon tak mau cakap pula... (BERGURAU DENGAN ZALI) Hang ada mengurat anak dara mana ke....Malu-malu pula...

ZALI
Tak ada masa aku...

HALIM
Hello.. siapa ni... PAUSE. MENINGGI Siapa? PAUSE. Oh... awak! Dah tujuh tahun tak dengar berita tiba-tiba saja telefon... ada apa...? PAUSE. Awak di sini?

TUNJUKKAN REAKSI ZALI YANG MENDENGAR. NAMPAK OLEHNYA WAJAH KAWANNYA BERUBAH DARI GEMBIRA MENGUSIKNYA TADI DAN KELIHATAN SERIUS TIBA-TIBA.

HALIM
Sepatah pun awak tak pernah tanya khabar semenjak awak hilang ke KL...  Tiba-tiba awak telefon nak saya jumpa awak?  Awak dah gila! Untuk apa saya jumpa awak... ? PAUSE. Ok ... saya faham... Dalam sejam dua lagi... Hotel mana tadi? Baik..

HALIM TERUS MELETAKKAN TELEFON. AGAK LAMA DIA DI TELEFON MEMIKIRKAN SESUATU. KEMUDIAN DIA BERGERAK KE TINGKAP MEMANDANG LUAR.

ZALI
Ada masalah?

HALIM
Masalah besar! Hartini ada di sini..

ZALI
Emak Sue ada di sini... ?? Hang nak buat apa?

HALIM PANDANG ZALI.

CUT TO

18. DALAM. BOT SUCHART. MALAM

KATSARIN SEDANG TIDUR APABILA DIA DIKEJUTKAN OLEH SUCHART. SUCHART MEMBERIKAN KEPADANYA JEKET KESELAMATAN.

SUCHART
Katsarin!!! Bangun... !!! Pakai jeket ni...

KATSARIN
Kenapa ayah...? Kenapa tiba-tiba...

SUCHART
POTONG Pakai jeket dan ikut apa ayah suruh... Kalau ada apa–apa jadi... Katsarin ikut Phapop... Ingat!! Ikut Phapop...

KATSARIN AGAK HAIRAN. SUCHART KELUAR DARI SITU MENDAPATKAN PHAPOP YANG BARU SAMPAI DI LUAR PINTU MASUK BILIK BOT TERSEBUT.

PHAPOP
Sauh dah angkat... Saya dah suruh ikut laluan ke Langkawi.... Tapi mungkin tak sempat...

SUCHART
Kamu ingat macam mana.... berapa lama kita ada...?

PHAPOP
Dalam 10-15 minit... Mereka pakai bot laju.. Cara mereka suluh... nampak macam mereka ada niat tak baik... 

SUCHART MENADAH TANGAN UNTUK MEMINTA TEROPONG YANG DIPEGANG PHAPOP. DIA KEMUDIAN MEMANDANG KE ARAH LAMPU KECIL BOT YANG JAUH KELIHATAN. KATSARIN MENDEKATI PHAPOP

KATSARIN
Ada apa Phapop?

PHAPOP
Kita mungkin ada sikit masalah...

KATSARIN
Masalah?

PHAPOP
Cik nampak lampu kecil di sana tu...

KATSARIN
Lampu kecil yang suluh merata tu?

PHAPOP MENGANGGUK.

PHAPOP
Bot biasa tak suluh begitu.... Cuma nelayan cari pukat atau lanun saja...  Sini terlalu jauh untuk tahan pukat... Jadi... Itu mungkin bot lanun...

KATSARIN
Bot lanun?!

TUNJUKKAN REAKSI KATSARIN YANG AGAK CEMAS DAN BERDIRI DI SEBELAH AYAHNYA.

CUT TO

19. DALAM. HOTEL MEWAH LANGKAWI. MALAM

HALIM MASUK KE DALAM LOBI DAN KEMUDIAN BERJALAN KE KAFETERIA. BILA DI CAFETERIA DIA MEMANDANG KELILING DAN NAMPAK OLEHNYA HARTINI MELAMBAI KE ARAHNYA.

HALIM
CAKAP SENDIRI. Tujuh tahun tak pernah peduli aku dan anak... Tiba-tiba tunjuk batang hidung... HALIM GELENGKAN KEPALANYA.

CUT TO

20. LUAR. LAUTAN/BOT SOMSARK. MALAM

TUNJUKKAN SOMSARK DI ATAS BOTNYA DAN DARI BOT SOMSARK NAMPAK LAMPU DARI BOT SUCHART. SOMSARK BERASA PUAS HATI DAN DIA MENARIK PISTOL DI ATAS MEJA DIDEPANNYA DAN DISELITNYA KE BELAKANG PINGGANGNYA. PENGIKUTNYA YANG LAIN SEMUANYA BANGUN BERSEDIA.

SOMSARK
TEMPIK KUAT. Kita dekati bot Kun Suchart dan pusing keliling. Kekal jarak 20 meter... Jangan terus himpit mereka... Aku tahu mereka pun tahu kita akan sampai... Tinjau dulu...

CUT TO

21. LUAR. BOT SUCHART. MALAM

TUNJUKKAN SUCHART, PHAPOP DAN KATSARIN BERDIRI DI BAHAGIAN BELAKANG BOT MEMANDANG KE ARAH BOT SOMSARK YANG MAKIN MENGHAMPIRI MEREKA.

CUT TO

22. DALAM.CAFE HOTEL. MALAM

HALIM DUDUK DI DEPAN HARTINI. HARTINI BERPAKAIAN SERBA MEWAH DENGAN JENAMA LUMAYAN.

HARTINI
Abang sihat? Nampak berisi sikit...

HALIM
Takkan ajak saya keluar cuma untuk tengok saya berisi atau tidak.. Ada apa?

HARTINI
Tini tahu Tini yang kurang adap dulu.. Tini yang minta cerai... Tujuh tahun pergi tanpa berita... Abang maafkanlah Tini..  Dah lama abang...

HALIM
Saya bukan setakat dah maafkan awak... dah lupakan pun! Soal maaf tak timbul.. awak buat keputusan untuk hidup cara awak... Saya ikut... Apa awak nak sekarang.. tentu awak datang dari jauh ni bukan untuk jumpa saya...

HARTINI
Tini nak jumpa anak Tini... Suraya!

HALIM BANGUN. DIA KELIHATAN MARAH.

HALIM
Awak ni tak ada hati perut ke? Suraya tu sakit rindukan awak hampir 2 tahun... Lepas awal tinggalkan dia... Sekarang dia dah belajar lupakan awak... Awak balik sini nak kacau dia? MARAH Jangan harap saya nak sakitkan hati anak saya! Saya gila kalau buat begitu...

HALIM BERGERAK UNTUK PERGI DARI SITU. HARTINI BANGUN.

HARTINI
Abang.. dia anak Tini juga!!..

HALIM MENGHENTIKAN LANGKAHNYA DAN KEMUDIAN TERUS BERJALAN. HARTINI CUMA MEMANDANGNYA, TIDAK MENGIKUT.
CUT TO

23. DALAM. CALET ZALI. MALAM

SUE SEDANG MEMIJAK BELAKANG ZALI YANG BERBARING DI LANTAI CALET.

ZALI
Sue ni tak makan apa ke... tak rasa apa langsung...

SUE
Badan banyak lemak macam ni nak rasa apa...

SUE LOMPAT BEBERAPA KALI ATAS BADAN ZALI

SUE
Huh.. rasa tak?

ZALI
Mati pakcik nanti Sue..

SUE KEMUDIANNYA BARING ATAS BELAKANG ZALI. ZALI AGAK LALI UNTUK LENA DI LANTAI.

SUE
Pakcik ni sengaja jual mahal dengan Maksu ke.. atau pakcik tak suka maksu? Baik cakap betul betul... Maksu tu sangat hormat pakcik... Pakcik buat halai balai saja... 

ZALI AGAK TERSENTAK DENGAN APA YANG SUE CAKAP.

ZALI
Mana ada.. Pakcik macam pakcik lah...

SUE
Tu lah masalahnya.. Pakcik macam pakcik... apa salahnya mengalah sikit dengan maksu.. Maksu tu baik tau... Sue rasa tak salah.. pakcik jadi paksu Sue..

ZALI PUSING BADANNYA DAN AKIBATNYA SUE TERJATUH KE LANTAI. ZALI MENARIKNYA DAN MENGELETEKNYA.

ZALI
Jangan nak merepek... Ayah Sue kawan baik pakcik... Anak dia macam anak pakcik... Adik dia..macam maksu tu.. adik pakcik lah... Itu adat berkawan... Mana boleh pakcik tiba-tiba jadi adik ayah Sue... Tak kena!!!

ZALI KEMBALI MENGELETEK SUE.

CUT TO

24. LUAR. BOT SUCHART/ LAUTAN. MALAM

SUCHART MELIHAT DENGAN AGAK HATI-HATI APABILA BOT SOMSARK MENGELILINGI MEREKA MENINJAU KEADAAN. PHAPOP BERADA DI SEBELAHNYA.

SUCHART
Kalau jadi apa-apa sekalipun... Kamu jaga Katsarin... Padam semua lampu kecuali lampu belakang ni... PHAPOP HENDAK BERGERAK APABILA SUCHART MENARIKNYA KEMBALI. Ingat... yang penting cuma Katsarin! Kamu jaga dia...

PHAPOP
Saya tuan....

PHAPOP SEGERA BERGERAK TANGKAS UNTUK MENUTUP LAMPU DI BOT TERSEBUT. LAMPU YANG DISULUH DARI BOT SOMSARK SESEKALI MENGENA MEREKA. KATSARIN MENDEKATI AYAHNYA. AGAK TAKUT.

KATSARIN
Apa mereka nak ayah? Kalau nak duit bagi saja ayah...

SUCHART MENGANGGUK DAN DIA SEGERA BERGERAK KE BILIK PEMANDU. PUSINGAN BOT SOMSARK SEMAKIN MENDEKATI MEREKA.

CUT TO

25. LUAR. BOT SOMSARK. MALAM

BOT SOMSARK DIPERLAHANKAN DAN DALAM JARAK 10 METER IANYA BERHENTI BERSEBELAHAN BOT SUCHART. DARI BOT SUCHART KEDENGARAN SUCHART MENEMPIK KE ARAH MEREKA.

SUCHART
Sawadeekap... Kami tak bawa apa-apa... cuma mahu pergi ke Langkawi...

SOMSARK YANG BERADA DI BOTNYA TERSENYUM.

SOMSARK
Tuan Suchart!! Itu Tuan Suchart bukan... Taukeh besar ... Kami bawa pesan dari orang Bangkok....

SOMSARK MELEPASKAN TEMBAKAN DI UDARA.

CUT TO

26. LUAR. BOT SUCHART/LAUTAN. MALAM

PHAPOP MENDEKATI SUCHART. TEMBAKAN DARI SOMSARK KEDENGARAN LAGI. DIA TERSENTAK DAN MENUNDUK KEMUDIAN BERGERAK KE ARAH SUCHART. KATSARIN KETAKUTAN MENUNDUK DI DALAM BILIK PEMANDU.

PHAPOP
Nampaknya mereka kenal tuan.... Macam mereka tahu tuan akan berada dalam bot ini...

SOMSARK
BERTEPIK DARI BOT SEBELAH. Ini pesan dari orang Bangkok... Selamat tinggal... SOMSARK MELEPASKAN TEMBAKAN. PELURU YANG DILEPASKAN TERKENA PADA PEMANDU DAN DIA TERJATUH DI STEERING BOT. SUCHART SEGERA BERTINDAK DENGAN MENGAMBIL TEMPAT PEMANDU DAN MEMUSING BOT KE ARAH MEMBELAKANGI BOT SOMSARK.  

SUCHART
Nampaknya ... Mereka bukan lanun biasa... Phapop!!! 

SUCHART MEMANGGIL PHAPOP DAN DIA KEMUDIANNYA MEMBISIK SESUATU PADA PHAPOP

PHAPOP
Tapi tuan....

SUCHART
Aku dah cakap.. yang penting bukan kita...

BOT SOMSARK MULAI MENGEKORI MEREKA. SUCHART MEMPERLAHANKAN BOT.

CUT TO

27. LUAR. BOT SOMSARK. LAUTAN. MALAM

SOMSARK MEMANDANG KE ARAH BOT SUCHART YANG TIBA-TIBA TIDAK MELARIKAN DIRI LAGI TETAPI SEBALIKNYA BERPUSING DAN MENGHALA KE ARAH MEREKA. SOMSARK KETAWA.

SOMSARK
Nampaknya tuan besar kita ini sangat berani..
SOMSARK MENGISYARATKAN AGAR ENJIN BOT DIMATIKAN.

SOMSARK
Matikan enjin bot... Mari kita tengok apa tuan besar fikir dia boleh buat...

BEBERAPA PENGIKUTNYA BERSUARA KUAT MENYURUH ENJIN BOT DIMATIKAN. SEMUA MEREKA MENGELUARKAN SENJATA MASING-MASING. SOMSARK BERDIRI MELIHAT BOT SUCHART YANG MNGHALAKAN BAHAGIAN HADAPAN BOT KE ARAH MEREKA.

CUT TO

28. DALAM. BOT SUCHART. LAUTAN. MALAM

PHAPOP MELETAKKAN DUA TONG PLASTIK BERISI PETROL DI BAHAGIAN DEPAN BOT DAN KEMUDIANNYA MELURU KE ARAH BELAKANG BOT. SOMSARK MEMPERLAHANKAN ENJIN BOT DAN KEMUDIANNYA KELUAR DARI BILIK MEMANDU DAN MENUJU KE BELAKANG BOT. KATSARIN MENANTI DI SITU. DIA MENAHAN PHAPOP BILA MEREKA BERTEMU.

SUCHART
Bot kita tak ada kelajuan untuk melawan mereka... Kita juga tak ada senjata... Kita mati katak di sini.. Kamu dengar sini... Aku tak ada jalan lain selain melanggar bot mereka.... Lumpuh mereka dengan minyak petrol yang kamu letak di depan tu..

PHAPOP
Tuan!!!

SUCHART MEMEGANG BAHU PHAPOP DAN MEMAKSANYA MEMAHAMI.

SUCHART
Kalau ada yang perlu mati antara kita bertiga... Cuma aku yang patut!!! Kamu faham... Aku berhutang pada ayah kamu... Aku berhutang pada Katsarin.. Kamu selamatkan adik kamu bila aku memecut nanti...

PHAPOP MERONTA. SUCHART MENAMPAR MUKANYA MENYURUH DIA MEMBERI PERHATIAN.

SUCHART
Aku mahu kamu tolak Katsarin ke laut... Kamu juga terjun! Kamu faham?

PHAPOP SEAKAN MEMBANTAH.

SUCHART
Aku mahu kamu berdua selamat.. kamu faham? KUAT. Faham?

PHAPOP MENGANGGUK. SUCHART KEMUDIANNYA KE BELAKANG
DIA KEMUDIAN MEMELUK KATSARIN DAN MEMBISIKKAN SESUATU KE TELINGA KATSARIN. KEMUDIAN DIA SEGERA KE BAHAGIAN DEPAN BOT DAN MASUK KE BILIK PEMANDU. TUNJUKKAN REAKSI MUKANYA YANG PENUH YAKIN.
 CUT TO

29. LUAR. BOT SOMSARK. LAUTAN. MALAM

SOMSARK MELIHAT KE ARAH BOT SUCHART YANG PERLAHAN DATANG KE ARAH MEREKA. TIBA-TIBA NAMPAK BOTNYA DIPECUT LAJU KE ARAH BOTNYA.

SOMSARK
Apa dia nak buat? FIKIR Apa dia nak buat...? DIA MEMANDANG KE ARAH BOT DAN KEMUDIAN FAHAM. Hidupkan enjin... !! CEMAS. Hidupkan enjin.. Cepat!!!! KUAT. TEMPIK SEKELILING. Tembak.... semua tembak.... MERUNGUT. Memang orang tua ni berani...

ENJIN BOT SOMSARK AGA SUKAR UNTUK DIHIDUPKAN. BUNYI TEMBAKAN KEDENGARAN DIHALAKAN KE ARAH BOT SUCHART.

CUT TO

30. DALAM. BOT SUCHART. LAUTAN. MALAM

DALAM TEMBAKAN YANG DILEPASKAN, KATSARIN YANG CUBA BERLARI KE ARAH DEPAN BOT UNTUK KE TEMPAT AYAHNYA TERTEMBAK DI BAHUNYA. DIA HILANG KAWALAN PADA GENGGAMAN TEPI BOT (GALANG UNTUK KE TEMPAT PEMANDU) LALU TERJATUH KE DALAM AIR. BOT SEMAKIN LAJU MENINGGALKANNYA. PHAPOP PULA YANG MELIHAT KATSARIN JATUH TIDAK TURUT TERJUN KERANA DIA MELIHAT BOTNYA TELAH HAMPIR DENGAN BOT SOMSARK. DIA MENUJU KE ARAH SUCHART. MELIHATKAN PHAPOP DATANG KEPADANYA, SUCHART MENJADI MARAH.

SUCHART
Kenapa kamu tak terjun! Bodoh!! Terjun..

PHAPOP
Saya tak boleh tinggalkan tuan...

SUCHART SEGERA MELEPASKAN STEERING DAN KEMUDIAN TERUS MENOLAK PHAPOP JATUH KE LAUT. DIA KEMUDIAN MEMECUT LAJU UNTUK MELANGGAR SOMSARK.

SUCHART
Semua bodoh.. tak mau dengar cakap!!!

CUT TO

31. LUAR. BOT SOMSARK. LAUTAN. MALAM

SOMSARK NAIK PANIK BILA MELIHAT BOT SUCHART MENDEKATINYA. BOTNYA GAGAL DIHIDUPNYA. MELIHATKAN SEGALA TEMBAKAN GAGAL UNTUK MNYEKAT BOT SUCHART. SOMSARK TERJUN KE DALAM LAUT. BOT SUCHART SEMAKIN DEKAT.

CUT TO

32. LUAR. LAUT. MALAM
PHAPOP MENGAPUNGKAN DIRINYA. DIA MELIHAT KE ARAH BOT SUCHART YANG MENGHAMPIRI BOT SOMSARK DENGAN LAJU DARI SUDUT DIA MENGAPUNGKAN DIRI. KEDENGARAN BUNYI LETUPAN YANG KUAT. DAN NAMPAK OLEHNYA API DARI BOT.

PHAPOP
MENJERIT KUAT. Tuan!!!

PHAPOP CUBA BERENANG KE ARAH BOT KEMUDIAN DIA BERHENTI DI TENGAH JALAN. PHAPOP TERINGAT AKAN PESAN SUCHART.

CUT TO

INSERT SC.  28 DI MANA SUCHART BERPESAN AGAR PHAPOP MENJAGA KATSARIN.

CUT TO

33. LUAR. LAUT. MALAM

CONTI SC 32. PHAPOP MENAMPAR PERMUKAAN AIR DENGAN MARAH. DIA KEMUDIAN BERPATAH BALIK SAMBIL MENJERIT MEMANGIL NAMA KATSARIN. DIA BERENANG KE SANA KE MARI MENCARI KATSARIN.

CUT TO

34. MONTAGE PENUTUP

1. DALAM. CALET ZALI. MALAM

ZALI DAN SUE TERTIDUR. SUE BERBARING DI ATAS ZALI DAN ZALI MENIARAP DI LANTAI. ERINA MASUK KE DALAM SET DAN MENYELIMUTKAN MEREKA. DIA MELIHAT PADA KOMPUTER ZALI YANG TERBUKA TETAPI TIDAK TERTULIS APA-APA. DIA MEMANDANG ZALI YANG TIDUR.

2. LUAR. JALANRAYA. MALAM

HALIM MEMANDU KERETANYA. DIA MENAMPAR STEERING KERETA AGAK MARAH.

3. LUAR. JALANRAYA. MALAM

KERETA HALIM BERLALU MELINTASI KAMERA DALAM PERJALANAN BALIK (KERETA BERGERAK KIRI KE KANAN)

4. DALAM. BILIK HOTEL HARTINI. MALAM.

HARTINI MELETAKKAN GAMBAR SUE SEWAKTU BERUMUR DUA TAHUN DI MEJA. DIA BERJALAN KE TINGKAP BILIK DAN MEMANDANG LUAR.

5. LUAR. LAUT. SUBUH/SIANG.

SEBUAH BOT NELAYAN BERLALU DAN MEREKA MEMBANTU MENGANGKAT PHAPOP DARI LAUT.

6. LUAR. LAUT. SIANG

SOMSARK BERADA DALAM BOT GETAH. BEBERAPA PENGIKUTNYA MENDAYUNG BOT TERSEBUT. SOMSARK MENGELUARKAN PISTOL BUNGA API LALU DITEMBAKNYA KE UDARA. (KALAU TAK ADA, MEMASANG GPRS HOMING BEAT)

7. LUAR. LAUT. SIANG

KATSARIN PENGSAN DENGAN MEMAKAI JEKET KESELAMATAN DI LUAT. TUNJUKKAN SHOT DEKAT DAN KEMUDIAN JAUH SEOLAH DIA BERSEORANGAN.

FREEZE.






No comments: